Friday, July 9, 2010

Magnet Rezeki


Semua orang mempunyai impian untuk menjadi kaya. Semua orang hendak hidup senang dan bahagia di dunia. Pelbagai keinginan manusia seperti ingin memiliki pendapatan yang besar, rumah yang selesa, kebebasan berbelanja dan segala-galanya yang bersifat material. Namun, ramai yang tertipu dengan mitos kekayaan dunia. Kaya wang tetapi miskin jiwa. Kaya wang dengan jalan yang salah dan mengundang kemurkaan Allah.Apakah ada jalan untuk menjadi kaya dan pada masa yang sama membina kekayaan jiwa demi kebahagiaan di akhirat kelak? Bagaimanakah caranya untuk membuka pintu rezeki seluas-luasnya untuk mencapai keberkatan dari Allah S.W.T?

Pernahkah kita terfikir akan cara yang mampu mengaitkan ibadah dengan keberkatan rezeki sehari-harian yang kita peroleh? Sesungguhnya kita adalah makhluk Allah dan sudah pasti siapa yang lebih bertaqwa dijanjikan keberkatan rezeki yang tidak disangka-sangka. Persoalannya, apakah dia ibadah yang mampu membuka tirai rahsia Allah untuk mendengar permohonan juga permintaan rezeki daripada hamba-hambanya? Apakah ibadah yang menjadi magnet rezeki kepada orang-orang yang benar-benar ikhlas menjalankan ibadah hanya kepada Allah S.W.T? 

Saya yakin, setiap daripada kita pernah kecewa apabila sesuatu yang kita lakukan tidak membuahkan hasil. Ingin saya tegaskan di sini bahawa rezeki dari Allah bukan hanya berbentuk material seperti wang ringgit, kereta, perhiasan, pakaian dan lain-lain tetapi termasuklah makanan yang kita peroleh, hati yang tenang juga anak-anak yang soleh. Ya, apabila kita kecewa pastinya keyakinan kita terhadap Allah berkurangan sebagaimana kurangnya iman kita pada ketika itu; dan keadaan sebaliknya berlaku apabila apa yang kita lakukan membuahkan hasil seperti yang sepatutnya . Kita mula mengukir senyuman dan menadah tangan menunjukkan rasa syukur kepada Allah. Janganlah bersedih sekiranya kita ditimpa masalah bahkan ingatlah ketika kita ditimpa kesusahan, kita perlu memohon supaya Allah memberikan kemudahan sebagaimana ingatan Allah dalam surah al-Mukmin, ayat 60 :

“Tuhanmu berkata, ‘Berdoalah kepadaKu, nescaya aku perkenankan. Sesungguhnya orang yang sombong dan enggan menyembahKu, kelak mereka memasuki neraka jahanam dalam keadaan yang hina.”

Perlunya kita menjadikan ayat ini sebagai pegangan dalam kehidupan supaya hati kita tidak terjebak dalam perasaan bimbang yang sering menghantui kita. Apabila masalah besar mendatang, maka Allah lah tempat kita mengadu dan bergantung. Bukannya kita menjadi ‘hamba perasaan’ dengan menurut kata hati dan sentiasa berada dalam keadaan yang hiba. Dan yang lebih penting lagi, mari kita lihat ayat Quran dari surah Alam Nasyrah, ayat 5-6 :

“Sesungguhnya sesudah kesusahan itu, ada kesenangan.”

Jadi bersabarlah apabila diuji kerana janji Allah adalah selepas kesusahan itu adanya kesenangan yang menanti. Ayat ini menjadi pemangkin bagi mereka yang pernah jatuh tersungkur akibat kegagalan dalam apa sahaja bidang kerana perkara ini adalah janji pasti dari Allah yang tidak perlu diragukan. Jika kita perhatikan dalam usaha dakwah baginda sekalipun, baginda menerima kesusahan yang saya yakin tidak mampu diterima oleh orang-orang yang lemah semangatnya, lemah imannya...tapi adakah Rasulullah tunduk dengan kesusahan itu?Tidak!!Tidak sama sekali! Kerana keyakinan spiritual merupkan aset penting bagi kita meneruskan kesusahan yang kita hadapi lalu menukarkannya menjadi kesenangan. Nabi yang merupakan kekasih Allah pun diuji dengan sebegitu dahsyat, inikan pula kita yang merupakan umat Nabi terakhir. Maka bersabarlah dengan ujian yang melanda lantaran janji Allah adalah benar!

Apakah magnet rezeki yang menjadi rahsia orang-orang mukmin kaya wang juga kaya iman? Ya, inilah rahsia yang bukan lagi rahsia kerana perkara ini telah tersebar luas namun saya yakin masih ramai yang tidak mengamalkannya kerana tidak mengetahui akan fadhilatnya. Sebagaimana hadith yang diriwayatkan dari At-Tirmizi, Rasulullah bersabda : 

“SOLAT DUHA itu mendatangkan rezeki dan menolak kemiskinan dan tidak ada orang yang memelihara solat kecuali orang yang bertaubat.”

Juga hadith yang dilaporkan oleh Thabarani :

“Sesiapa yang mengerjakan SOLAT DUHA empat rakaat sebelum solat Zohor, maka Allah mendirikan rumah untuknya di Syurga.”

Subhanallah. Begitu besar fadhilat Solat Sunat Duha jika kita benar menyedarinya. Inilah MAGNET REZEKI yang sepatutnya kita berlumba-lumba mengerjakannya. Meskipun kita sedang sibuk bekerja, berehatlah sebentar bagi mengerjakan solat sunat Duha supaya pekerjaan kita sentiasa diberkati Allah. Inilah rahsia bagi golongan yang mengejar kejayaan dunia bagi menjamin kebahagiaan di akhirat kelak. Tiada salahnya kita mengejar kejayaan di dunia dengan bekerja bersungguh-sungguh sebagaimana dalam Surah Al-Jumuah sendiri yang menggalakkan umatnya giat bekerja dan tidak malas; 

“ Apabila kamu selesai menunaikan solat Jumaat, bertebaranlah kamu di muka bumi mencari karunia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung.”(Surah Al-Jumuah, ayat 10)

Maka hendaklah kita mencari rezeki yang halal dan bermanfaat supaya sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Yang Esa.

Pasti kita tertanya-tanya benarkah dengan Solat Duha kita boleh memperoleh rezeki sehinggakan Solat Duha dikatakan Magnet Rezeki? Juga Solat Duha dapat menjauhkan kemiskinan dan mendatangkan kemudahan? Persoalan ini insyaAllah akan dibincangkan pada entri yang lain tapi suka untuk saya tinggalkan pembaca dengan satu hadith laporan Muslim daripada Abu Dzar :

“ Setiap sendi kamu pula pada setiap hari mengeluarkan sedekah. Setiap bacaan tasbih adalah sedekah, setiap bacaan tahmid adalah sedekah , setiap bacaan tahlil adalah sedekah, setiap bacaan takbir adalah sedekah, mengajak kepada kebajikan adalah sedekah dan mencegah kemungkaran adalah sedekah. Semua amalan itu boleh digantikan dengan mengerjakan solat duha dua rakaat.”

Wallahu a’lam.

7 comments:

Anonymous said...

thanks 4 da sharing amad :)

nisa` said...

salam ziarah amad, nice blog and keep going.

syarfinas said...

Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW brsabda:
"Sesungguhnya di syurga itu trdpt pntu yg dinmakn 'Dhuha'.Mka apbla brlkunya kiamat nnt,para malaikat akn brseru dgn seruan:"Manakah org2 yg tlah melazimkn prlksanaan solat Dhuha? Inilah pntu kmu,silalah msuk dgn rahmat Allah"
~HR al-Thabrani~

Rahwana said...

Salam.banyak manfaat niih

Vamp Mary said...

manfaat. (:

Vamp Mary said...

manfaat. (:

Vamp Mary said...

manfaat. (: