Sunday, May 22, 2011

Solat Berjemaah : Kenapa?

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim

Segala puji bagi Allah, Pemilik dan Pentadbir sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga, para sahabat r.a dan kepada semua yang mengikutinya.

Solat berjemaah adalah perkara yang bukan asing di negara-negara Islam. Umumnya, masyarakat Islam mengetahui dan tidak menolak kepentingan solat berjemaah. Namun, setakat mana solat berjemaah diberi keutamaan untuk dilaksanakan? Pertembungan antara tuntutan duniawi dengan tuntutan ukhrawi menjadikan umat akhir zaman semakin sukar untuk berjemaah terutamanya di masjid mahupun di surau-surau yang berhampiran dengan kediaman masing-masing.
Malah, jikalau berada dalam keadaan musafir sekalipun, peluang untuk solat berjemaah amat tinggi jika kita bersungguh untuk mengejarnya. Bagaimana yang dikatakan solat berjemaah adalah sesuatu yang sangat ajaib dan dituntut? Mari kita meneliti hadis Nabi Muhammad S.A.W ini :

“Solat seseorang dengan berjemaah itu digandakan 25 kali ganda berbanding solat yang dikerjakan di rumah atau di pasar. Demikian itu kerana apabila seseorang berwuduk dan menyempurnakan wuduknya, kemudian pergi ke masjid dengan tujuan khusus untuk solat, maka setiap kali ia melangkah kaki, diangkat satu darjat dan dihapuskan satu dosa. Dan bila ia mengerjakan solat, maka malaikat sentiasa memohon rahmat kepadanya selama ia berada di tempat soalt selagi ia tidak berhadas (doanya iaitu): ‘Ya Allah, ampunilah ia, ya Allah kasihanilah ia’ Dan (para malaikat sentiasa mendoakannya) selama ia menanti solat.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

“Sesungguhnya solat berjemaah 27 kali ganda lebih afdal daripada solat bersendirian.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Begitu besar ganjaran yang Allah berikan kepada sesiapa yang mengutamakan solat berjemaah berbanding solat bersendirian. Mari kita bayangkan betapa besarnya rahmat Allah kepada hambaNya, jika kita solat dan Allah membayar kepada kita secara langsung, saya yakin dan percaya tiada seorang pon yang akan meninggalkan solat berjemaah. Kenapa? Baik, mari kita lihat..Jika solat yang dilakukan hanyalah bersendirian di bilik maka solat itu hanyalah mendapat 1 pahala. Tetapi jika solat itu dijalankan secara berjemaah hatta hanya 2 orang sahaja, maka pahalanya digandakan sehingga 27 kali ganda! Sesuatu amat ajaib, contohnya kita dibayar RM1 untuk solat bersendirian di rumah tetapi kita dibayar RM27 kerana solat berjemaah walaupun hanya 2 orang. Bukankah kita sepatutnya dibayar hanya RM2 kerana hanya pertambahan seorang sahaja? Itulah rahmat Allah, dan gandaan pahala tadi hanya Allah Yang Maha Mengetahui, saya hanyalah membuat perbandingan untuk menunjukkan betapa besarnya rahmat Allah S.W.T. kepada makhlukNya. MasyaAllah!

Apabila kita menyorot kembali sirah Nabi Muhammad S.A.W, kita dapati Rasulullah tidak meninggalkan solat berjemaah setelah baginda berhijrah ke Madinah. Selama 13 tahun baginda di Mekah, solat berjemaah tidak dapat dilaksanakan dengan aman kerana ancaman dan penyiksaan terhadap umat islam daripada orang kafir Quraisy. Baginda hanya mampu solat secara bersembunyi di rumah. Setelah berhijrah, barulah baginda mendirikan solat secara berjemaah dan terang-terangan. Baginda melaksanakannya secara berterusan sehingga ke akhir hayat baginda. Begitulah akhlak yang ditonjolkan baginda untuk ikutan kepada umatnya sehingga ke akhir zaman. Bainda begitu menekankan perpaduan umat melalui solat berjemaah.

Solat berjemaah, mengikut pendapat yang sahih adalah dihukumkan fardhu kifayah kecuali solat Jumaat yang difardhukan fardhu ain kepada setiap lelaki yang mukalaf. Kefardhuan ini tidak terlepas daripada sesuatu tempat, kampung, bandar, atau pecan melainkan ada sekumpulan manusia yang mendirikannya secara terang dan jelas. Sekiranya ia tidak didirikan sama sekali atau dilaksanakan secara bersembunyi maka seluruh penduduk dalam kawasan tersebut berdosa dan pemerintah wajib untuk memerangi mereka.

Solat jemaah merupakan perkara asas yang perlu kita tekankan dan tidak boleh dipandang ringan sama sekali. Mari jika merujuk kepada kitab suci al-Quran, Allah S.W.T berfirman :

“Dan apabila engkau(Wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka(semasa perang), lalu engkau mendirikan solat dengan(menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak daripada mereka berdiri(mengerjakan solat) bersama-samamu dan hendaklah nereka menyandang senjata masing-masing, kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah berundur ke belakang(untuk menjaga serbuan musuh) dan hendaklah datangpula puak yang lain(yang kedua) yang belum solat (kerana menjaga keselamatan), maka hendaklah mereka bersolat (berjemaah) bersama-samamu, dan hendaklah mereka mengambil langkah berjaga-jaga serta menyandangkan senjata masing-masing. Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan harta benda kamu, supaya dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak dan tidaklah kamu berdosa meletakkan senjata masing-masing, jika kamu dihalangi sesuatu yang menyusahkan disebabkan hujan atau kamu sakit. Dan hendaklah kamu mengambil langkah berjaga-jaga. Sesungguhnya Allah telah meyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang  amat menghina.”

(Surah An-Nisa : 104)

Nah, hatta dalam keadaan perang sekalipun Allah mengutamakan solat berjemaah apatah lagi dalam suasana aman tenteram tentunya ia adalah lebih aula/utama. Malangnya hari ini kita meringankan solat berjemaah di masjid, sedangkan baginda sendiri tidak meninggalkan solat berjemaah ketika baginda sakit tenat sekalipun. Baginda pernah dipapah oleh para sahabat untuk mengerjakan solat berjemaah di masjid. Ini menunjukkan baginda ingin menyampaikan mesej kepada umatnya mengenai perihal pentingnya solat fardhu secara berjemaah dan di masjid.
Hari ini, ramai yang berfikir bahawa solat fardhu bersama keluarga adalah lebih baik sedangkan baginda tidak menunjukkan hal seperti ini. Jika ada sekalipun, baginda hanya solat berjemaah bersama isterinya untuk solat-solat sunat sahaja. Yang dimaksudkan dalam hadis nabi “Jangan dibiarkan rumah-rumah kita menjadi kuburan” ialah saranan untuk mengerjakan solat-solat sunat di rumah, bukannya solat fardhu.

Dan lagi, ada kaum ibu yang mempertikaikan adakah 27 gandaan pahal hanya dapat kepada si suami sahaja? Sudah tentu tidak jawapannya. Allah S.W.T mengurniakan segala pahala si suami kepada isterinya juga selagi mana isterinya taat kepada suaminya(selagi bukan perkara maksiat). Oleh yang demikian, mana-mana isteri yang faham akan hal ini, maka mereka akan menyuruh suami untuk bersegera mengerjakan solat secara berjemaah di masjid kerana bahagian untuknya pun dapat sama. Sesungguhnya Allah jua Yang Maha Adil.

0 comments: