Wednesday, December 22, 2010

Wahai Pemuda


Salam luar biasa sihat dan hebat semua! Manusia itu bermula dari setitis air mani yang hina, kemudiannya tersenyawa, menjadi seketul daging dan terus menerus dikandung selama lebih 9 bulan di dalam perut insan yang penuh dengan sifat kasih sayang bernama ibu. Lahirnya manusia ke atas muka bumi Allah yang Maha Mulia sebagai seorang bayi kecil yang belum mengerti akan apa-apa pun. Kemudiannya manusia itu membesar mengikut usianya sebagai kanak-kanak yang mula mengenal kehidupan duniawi yang fana. Alam seterusnya adalah remaja, manusia mula diberi ilham oleh Allah untuk mengenal erti nafsu kepada berlainan jantina yang juga merupakan fitrah kejadian manusia. Begitulah indahnya kejadian manusia yang cukup sistematik dan sempurna, menunjukkan kesempurnaan dan kebijaksaan Allah dalam mengatur dan menjadikan sesuatu daripada sekecil-kecil zarah sehingga sebesar-besar galaksi.

Alam remaja merupakan titik asas permulaan penting dalam menerajui perihal perundangan hukum Allah di atas muka bumi ini. Usia remaja bermula pada umur 13 tahun dan kebiasaannya dalam usia ini remaja telah aqil baligh dan mampu membezakan antara yang baik dan buruk. Di sinilah perjalanan seorang pemuda bermula. Di sinilah permulaan yang terbaik bagi membentuk jiwa Islami yang mendokong penuh syariat Islam dengan sebenarnya. Di sinilah juga peranan penting pemuda dalam pencarian ilmu mengikut lunas-lunas Islam yang sebenarnya. Saya yakin dan percaya terdapat ramai anak-anak muda belasan tahun yang tercari-cari matlamat hidup atau dengan kata lainnya adalah apa tujuan sebenar kehidupan ini? Ya, ada yang berkata “Aku nak masuk U kemudian dapat kerja bagus, tolong mak ayah, beli rumah besar, berkeluarga, kemudian mati dalam keadaan aman”, yang lain pula berkata “Aku dah besar nak jadi doktor nak tolong orang sakit, pastu boleh dapat duit banyak!”. Sekiranya anda masih lagi anak remaja, apakah matlamat hidup anda? Adakah perkara yang sama bermain berada di fikiran anda?

Jika ya jawapan anda maka anda masih lagi dibelenggu dengan permainan minda atau saya katakan sebagai ‘mindset’ yang telahpun dibentuk dari awal lagi oleh mak ayah anda semua. Adakah hidup anda terhenti dengan kematian? Bagaimana dengan matlamat anda selepas kematian nanti? Ataupun adakah kita hidup mengejar pangkat, wang, keseronokan, wanita atau kerja kebajikan? Sekadar itukah atau telah kita letak aturan keutamaannya. Tidak saya nafikan kebaikan dalam mengejar perkara-perkara yang disebutkan namun perlu ada aturan keutamaannya yang tepat. Persoalan utama yang saya timbulkan adalah apakah matlamat utama kita sebagai manusia di atas muka bumi ini dan yang lebih penting lagi adalah peranan pemuda itu sendiri sebagai tiang pasak dalam segala segi. Fikir-fikirkan kembali tujuan dan matlamat kita sebagai manusia yang berakal ke atas bumi yang tiada bertepi ini.  Saya tinggalkan anda semua dengan persoalan ini untuk sama-sama kita fikirkan. Semoga kita diberi hidayah Allah untuk melihat kepada jalan kebenaran dalam mencari matlamat hidup dan terus istiqamah di atas jalan yang lurus itu. InsyaAllah.

Dalam konteks Islam sendiri, pemuda merupakan angkatan penting bagi memastikan keteguhan kehidupan berasaskan formula Islami bagi diterapkan secara istiqamah dalam setiap jiwa manusia yang bernama muslim. Pemuda perlu berani ke depan bagi membentengi peranan Islam dalam segenap perkara. Pemuda perlu lantang mempertahankan setiap perkara mungkar yang terjadi dan mendokong amar makruf yang cuba disampaikan. Pemuda perlu cerdas dan cergas bagi melindungi orang-orang yang tidak berdaya terutamanya orang yang dekat dengan mereka. Pemuda merupakan anugerah yang besar kerana pemuda berjiwa besar, berdaya saing, mempunyai kekuatan yang maksimum, mencari sesuatu yang baru, dan merupakan agen pembaharuan. Firman Allah S.W.T :

“Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka”
Surah Al-Kahfi ayat 13

Demikian Allah tekankan pemuda dalam ayat Al-Quran di atas. Allah tidak menggunakan perkatan manusia namun pemuda; sesuai dengan peranannya dalam ayat tersebut. Penggunaan perkataan pemuda menunjuk betapa peranan tersebut spesifik kepada pemuda bukan kepada kanak-kanak ataupun orang tua. Dalam Al-Quran terdapat banyak ayat yang menyentuh peranan pemuda secara spesifik bagi menunjukkan bahawa pemuda merupakan angkatan penting dalam menegakkan agama Islam. Malah Allah akan menambah petunjuk ke atas mereka jika mereka adalah pemuda yang benar-benar beriman kepada Allah. Bagaimanakah ciri-ciri pemuda yang benar-benar mahukan kebenaran Islam dan jujur ikhlas berada di atas jalan amal Islami? Terdapat empat ciri utama iaitu keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan. Hal ini kerana asas keimanan itu ialah hati yang cerdik; asas keikhlasan ialah sanubari yang jernih dan bersih, dan asas semangat insan ialah perasaan yang segar mekar; manakala asas bagi setiap tindakan pula ialah keazaman yang gagah lagi tabah.

Begitulah indahnya jika setiap remaja Islam hidup dalam suasana Islam yang harmoni dan mengamalkan amal Islami dengan sebenar-benarnya. Tiada lagi masalah sosial dan jenayah yang semakin berleluasa di mana-mana negara di atas dunia ini. Tiada lagi kes rogol, pembuangan anak zina, penzinaan, pelacuran, gay, budaya Black Metal, punk, juga tiadanya kelab-kelab hiburan yang rata-ratanya umat Islam yang bekerja di dalamnya! Nauzubillah himin zalikh. Walau pelbagai usaha dijalankan untuk mengatasi masalah-masalah ini namun saban hari masalahnya menjadi semakin kronik malah berakar tunjang dalam masyarakat. Pada pandangan saya, hal ini kerana kita tidak bersungguh dalam mencegah masalah ini, punca utama masalah tidak dilupuskan, cuma pucuk-pucuk masalah yang kita cantas namun akarnya terus berakar umbi dalam masyarakat. Inilah yang terjadi jika hukum manusia lebih kita dahulukan berbanding hukum Allah.

Jika kita beralih dari masalah sosial kepada perkara yang sudah pun dianggap fenomena terutama di Malaysia seperti program realiti, konsert dan rancangan-rancangan televisyen. Kesemuanya adalah berasal Barat yang kita tahu propagandanya hanyalah untuk menyesatkan umat Islam itu sendiri. Perlu diingati bahawa Rasulullah sendiri pernah berpesan bahawa pihak Nasara dan Yahudi tidak akan puas sehingga orang-orang Islam mengikut cara hidup mereka dan kata-kata Rasulullah benar-benar terjadi di hadapan mata kita sendiri. Tinggal akal fikiran kurniaan Tuhan menentukan kebenaran kata seorang Rasul yang al-amin. Bagaimana mungkin remaja yang lahir dalam suasana yang penuh maksiat dan bergelumang dengan dosa akan bangkit dengan beraninya mempertahankan syariat yang dipegang kemas oleh junjungan besar Muhammad S.A.W melainkan adanya kesedaran untuk kembalikan Islam sebagai cara hidup bukan sekadar kepercayaan spiritual semata-mata.

Bangkitlah wahai pemuda! Bangkitlah menegakkan agama Islam dengan sebenar-sebenarnya. Jangan terleka dengan hiburan dan keseronokan dunia yang sementara ini. Letakkanlah keazaman yang teguh dalam hati agar kita terus bersatu hati memperjuangkan agama Allah ini!

Jadikanlah firman Allah dalam Surah Ali- Imran ayat 110 sebagai azimat kebangkitan Islam di atas muka bumi ini;

“Kamulah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk memimpin umat manusia; iaitu kamu menyuruh berbuat kebaikan dan kamu menegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah”
Surah Ali Imran ayat 110


Thursday, December 16, 2010

Politikkan Islam?

“Oww…nak mempolitikkan isu ini ya?”, demikian saya petik kata-kata yang terhambur keluar dari seorang ahli politik yang terkenal di tanah air kita. Hal ini adalah akibat daripada persoalan yang dikeluarkan oleh seorang ahli politik yang lain tapi dari parti yang berlainan berkenaan dengan hal rakyat jelata. Saya bingung memikirkan kata-kata tokoh terkemuka ini, apakah makna politik yang sebenarnya? Apakah politik itu lain, kepentingan rakyat itu lain? Atau apabila kita berbicara mengenai rakyat, sekaligus kita berbincang hal politik secara tidak langsung? Jadi bagaimana sebenarnya pemikiran ahli-ahli politik bila berhujah dengan ayat POLITIK?

Setelah merasa bingung dengan keadaan ini, saya bingkas mencari makna politik itu sendiri. Wah, ternyata dalam Kamus Dewan edisi ke-4 terbitan 2005 mendefinisikan politik sebagai ilmu pengetahuan berkenaan cara atau dasar-dasar pemerintahan. Maka sememangnya apabila berbicara soal pemerintahan akan berkait terus dengan kepentingan rakyat namun hal itu tidak dinyatakan secara langsung. Sekali lagi saya terfikir, segala jawaban pastinya tertulis dalam Islam kerana Islam itu luas lagi menyeluruh kepada semua aspek dan sudah pasti perkara politik juga tidak terkecuali dari pandang sisi Islam. Ya, segala sesuatu perlu kembali kepada asasnya.

Politik dipanggil ilmu siasah dalam bahasa Arab atau ilmu kenegaran. Politik Islam dikenali sebagai Siasah Syar’iyah yang membawa maksud mengurusi atau mengatur perkara mengikut syariat Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W. Jadi, makna siasah(politik) tersebut telah diterapkan pada pengurusan dan pelatihan orang yang diurus. Lalu, kata tersebut digunakan dalam pengaturan urusan-urusan manusia. Pelaku pengurusan urusan manusia tersebut dinamakan ahli politik atau siasiyun. Islam memberikan makna yang cukup luas apabila menyentuh soal politik. Maknanya, selagi mana adanya pengurusan, di situlah berlakunya politik. MasyaAllah, bagaimana pemikiran kita berkenaan dengan perkataan politik itu sendiri? Adakah kita didoktrin bahawa politik itu sememangnya kotor, jijik, dan tidak perlu bercampur dengan urusan agama? Perlu ditegaskan di sini bahawa kita yang mengaku muslim meyakini siasah adalah satu salah dari aspek yang penting dalam Islam. Rasulullah S.A.W sendiri menggunakan kata politik dalam sabdanya yang bermaksud :

“Adalah bagi Bani Israel, mereka diuruskan oleh para nabi(tasusuhumul anbiya). Ketika seorang nabi wafat, nabi yang lain dating menggantikannya. Tidak ada nabi setelahku, namun akan ada banyak khalifah.” Hadis riwayat Bukhari dan Muslim

Jelas di sini bahawa politik itu makna awalnya adalah mengusuri urusan masyarakat. Berkecimpung dalam politik bererti memperhatikan keadaan dan masalah rakyat seperti menghindarkan kezaliman penguasa dan mengelakkan kejahatan musuh kafir daripada mereka. 

Rasulullah S.A.W pernah ditanya oleh sahabat tentang apa yang paling utama berkaitan “jihad”? Baginda menjawab “Kalimah benar yang disampaikan pada penguasa”
Hadis riwayat Ahmad

Bererti secara ringkas Politik Islam memberikan pengurusan atas hal ehwal seluruh umat muslim termasuk bukan muslim yang bernaung dengan aman di dalam sebuah Negara Islam.

Persoalannya, jika kita melihat realiti hari ini keadaannya sangat berbeza dan rumit. Apabila menyentuh soal politik, ada yang berkata itu bukan urusan saya, saya tidak berminat, rasuah dan politik wang, dan berbagai tanggapan negatif terhadap politik. Ya, saya tidak menafikan semua itu ada yang terjadi, namun sedar tidak sedar secara tidak langsung kita menganggap politik Islam juga begitu dengan mengatakan “Aah, semuanya politik, same je” atau “Tak yah la berpolitik, kotor tu seme”, sedangkan hakikatnya politik Islam tidak sebegitu rupa. Bertambah parah apabila ada ulama mahupun ilmuwan yang bersuara dikatakan sebegini pula “ Aih, orang agama pon nak berpolitik jugak ke?”, menunjukkan sikap semberono sesetengah pihak akan kesyumulan Islam itu sendiri. Realiti di tanah air kita sudah pasti mencerminkan suatu persaingan yang kurang sihat lantaran sistem yang kita cedok bukanlah bersumberkan Islam. Maka tidak hairan jika ramai yang kurang bersetuju dengan hal ini. Tapi harus diingatkan bahawa politik itu tidak kotor tetapi cara politik itu ditangani telah mengotorkannya. 

Propaganda kaum sekular ada menyebut “Politik dan agama tidak boleh bercampur”. Sebabnya orang yang faham agama takut akan Allah dan tidak sesuai berkecimpung dalam politik yang mengkudakan dusta, kezaliman, pengkhianatan dan tipu daya. Maka ramailah orang yang memperjuangkan Islam secara ikhlas termakan akan dakyah ini sehingga ada yang terkeliru dengan politik itu sendiri. Maka wujudlah orang yang memperjuangkan dakwah semata-mata, juga ada yang risau hanya memikirkan akan keadaan umat tanpa solusi yang berkesan, sekadar risau dan sentiasa bertaqarrub kepada Allah, malah ada yang memikirkan diri sendiri dan ibadahnya sahaja. Ketahuilah, propaganda itu merupakan kebenaran yang digunakan untuk kebatilan. Tidak dapat tidak, Islam tidak boleh dipisahkan daripada politik!

Skop politik Islam sangat luas dan yang perlu difahami adalah asas prinsip agama Islam adalah bertunjangkan al-Quran dan hadis. Tauhid menjadi perkara asas yang terpenting dalam mengaturkan pentadbiran dan pengurusan sesebuah Negara Islam. Tidak perlu timbul sebenarnya persoalan “Politikkan Islam?” kerana politik itu adalah sebahagian daripada Islam itu sendiri. Apa pon yang diperlakukan, hendaklah jelas bahawa tujuan asal politik tetap berteraskan kepada satu arah yakni Allah S.W.T dalam mentadbir dan menguruskan gelagat manusia. Sama-sama kita muhasabah diri kita dan insyaAllah kita berjaya mengubah persepsi kita terhadap erti kata politik itu sendiri. Sekian.

Demokrasi Vs Syura


Dalam dunia globalisasi yang penuh maju kini, pelbagai istilah baru dan unik yang timbul juga untuk menunjukkan kemajuan intelek pemikiran manusia dan ketamadunan. Pelbagai sistem yang digunakan di negara-negara maju bagi memastikan negara berada dalam keadaan yang terbaik. Namun, sedar atau tidak manusia hanya bergantung kepada akal pemikiran manusia semata-mata tanpa menyandarkan kepada Ilah yakni Tuhan Pencipta Alam. Banyak sistem yang berbentuk ‘isme’ yang dilahirkan cerdik pandai manusia yang mana setiap sistem ini ada kelebihan dan keburukan masing-masing. Nasionalisme, komunisme, darwanime, sosialime, sekularisme, dan sebagainya yang diasaskan oleh kerana persekitaran yang memaksa juga untuk menguntungkan hanya sebelah pihak semata adalah contoh yang berada di depan mata kita dan masih banyak sistem yang saya nukilkan tadi masih lagi digunakan di negara-negara membangun terutamanya di negara dunia ketiga.

Walaubagaimana pun, sebenarnya 1400 tahun yang lalu telah turun kalam Tuhan Semesta Alam melalui perantaraan malaikat Jibril kepada manusia paling mulia Nabi Muhamad S.A.W,  memberi panduan kepada sekalian manusia yang mana kalam ini menerangkan kepada manusia seluruhnya akan aturan dan perundangan di dunia ini secara lengkap. Namun pada hari ini ke mana perginya perundangan ini?! Sebagai umat Islam, kita dalam diam mengetahui bahawa setiap sistem selain sistem yang diturunkan Allah tidak menyeluruh lagi sesat malah menyesatkan. Ada yang mengatakan perundangan Islam 1400 tahun dahulu tidak lagi relevan digunakan di zaman moden. Ini adalah kata-kata yang dusta tanpa hujah yang konkrit dan sama sekali tidak berakar tunjang. Malahan tuduhan melulu sebegitu hanyalah pandangan yang bersifat peribadi dan menunjukkan betapa orang yang menghamburkan kata-kata itu tidak mengerti Islam dengan sebenar-benarnya.  Keluasan dan keterbukaan Islam terhadap kemajuan dan idea sofistikated berasaskan akal fikiran adalah amat jelas, kerana keadaan pada masa dahulu tidak mungkin sama dengan persekitaran hari ini. Namun, kita perlu mengambil dasar yang telah digaris sejak awal dahulu untuk dipraktikkan dalam perundangan hari ini.

Mutakhir ini, ada bisik-bisik yang mengatakan bahawa sistem Islam telah kembali wujud. Ada yang mendakwa bahawa dalam tidak sedar sistem Islam telah kembali digunakan dalam perundangan negara. Malah ramai cendiakawan juga cerdik pandai yang mengatakan bahawa sistem demokrasi adalah jelmaan semula sistem syura yang telah lama digunakan oleh umat Islam. Namanya mungkin berbeda namun tidak dapat tidak penggunaanya adalah persis. Demikian hujah mereka ini. Malah ada juga beberapa pemimpin yang mengaku dirinya Islam bangkit menyetujui akan hal ini malah mempertahankan sistem ini dengan lantangnya. Ramai yang bersorak gembira dengan sistem ini lantaran keterbukaannya kepada semua pihak, yang mana semua orang dapat meluahkan apa yang diyakini benar juga apa yang sepatutnya batil. Benarkah sistem demokrasi boleh kita samakan dengan sistem syura? Mari kita lihat dengan lebih dekat kedua-dua sistem ini.

Demokrasi pada asasnya adalah sistem yang mengambil suara majoriti dalam masyarakat sebagai jawaban kepada penyelesaian manakala syura adalah terbatas kepada perkara-perkara yang tidak ditentukan Ilah melalui wahyu, dan tertakluk kepada tiadanya percanggahan dengan al-Quran, hadis serta ijmak dan tidak bercanggah dengan kaedah syariah juga usulnya. Hal ini menunjukkan sistem demokrasi dan syura, perbezaannya bagaikan langit dan bumi. Jarak perbezaannya sangat luas dan dapat dilihat dengan perkara yang akan saya nukilkan.

Pertama, suara majoriti boleh menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh Allah S.W.T seperti zina, maksiat, kahwin sesama lelaki juga arak. Malah, ia boleh mengharamkan apa yang telah dihalalkan seperti poligami, pemakaian tudung dan jilbab dan lain-lain lagi. Demokrasi adalah bebas melampaui hukum Allah. Sistem syura bukan melalui suara majoriti.

Keduanya, anggota majlis syura terdiri daripada orang Islam yang adil, ilmuwan, ahli fikir, pakar-pakar yang berpengalaman dalam bidang-bidang yang berkaitan. Sistem demokrasi pula bercampur aduk antara yang alim dengan yang jahil, antara yang bijaksana dengan yang bodoh. Pelakon dan penari dan sesiapa sahaja yang Berjaya menarik para pengundi untuk mengundinya. Mereka inilah yang menentukan hala tuju perundangan sama ada menghalalkan atau mengharamkan sesuatu.

Yang ketiga, dalam sistem syura sesuatu kebenaran itu bukanlah melalui suara majoriti sepertimana firman Allah :

“Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah” Surah al-An’am ayat 116

Bahkan kebenaran itu ditentukan berasaskan dalil, hujah dengan mengambil kira usul syariah dan kepentingan awam. Sementara penggunaan suara majoriti dalam system demokrasi menyelesaikan masalah tanpa mengambil kira hujah syariah dan bukti-bukti akal.

Saya kira cukup penting untuk kita sebagai orang yang mengaku sebagai muslim mengetahui akan hal ini dan tidak terpedaya dengan dakyah sesetengah pihak yang menyamakan sistem demokrasi dengan sistem syura kerana yang pasti lagi jelas kedua-dua sistem ini adalah dua perkara yang sangat berbeda dan tidak boleh disamakan. Tiada sistem yang selayaknya kecuali sistem yang ditentukan oleh Allah dan dengan penuh harapan kita mengharapkan sistem Allah akan segera tertegak di negara yang kita cintai ini. Yang Hak pasti tertegak benar, yang batil sama-sama kita perangi..InsyaAllah.